Ada terpendam di dalam hati saya untuk menghafal al-quran. Jadi saya ingin tahu akan cara-cara yang berkesan untuk menghafal Al Quran, seperti waktu yang sesuai untuk menghafal, pantang-pantang dan sebagainya. Saya berbesar hati jika ustaz dapat menjawab soalan saya kerana sudah sekian lama saya ingin menghafalnya?
Jawaban: Menghafal Al-Quran memerlukan kesabaran jitu, kerana ia merupakan mukjizat Allah yang diturunkan kepada nabi besar Muhammad SAW. Al-Quran merupakan cahaya dan ia mudah hilang kerana kegelapan maksiat. Untuk itu cubalah jauhi perbuatan buruk walaupun pada perkara yang ringan seperti mendengar muzik, berbual kosong dan sebagainya. Menurut pendapat penghafal Al-Quran yang berpengalaman, masa yang sesuai untuk menghafal Al-Quran ialah ketika sunyi terutama di waktu pagi. Walaupun begitu, anda harus berlatih untuk menghafal dalam setiap situasi sekadar termampu.
Cara menghafalnya pula berbagai-bagai. Namun kaedah biasa ialah dengan mengulangi 2-3 ayat secara melihat kepada Al-Quran kemudian cuba mengingatinya, setelah itu bolehlah berpindah ke ayat-ayat yang lain. Untuk menguatkan hafalan, anda dikehendaki mengulanginya selalu. Kalau boleh bacakan ayat-ayat yang telah dihafal di dalam solat fardu atau sunat rawatib. Harus diingat menghafal ayat yang baru adalah lebih mudah dari menjaga ayat yang telah dihafal.
Oleh kerana itu peruntukkan waktu khusus untuk mengulanginya. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, "sesungguhnya Al-Quran lebih cepat luput dari hati dari hilangnya unta yang terlepas dari ikatannya". Anda hendaklah juga menjaga makanan, agar tidak memakan makanan yang haram atau syubhah, kerana ia boleh memberi kesan kepada mutu hafalan.
Perbanyakkan ibadat sunat dan solat hajat. Jika anda merasa masih terlalu susah hendak menghafal cuba lakukan solat ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Tabrani yang menceritakan bahawa saidina Ali pernah mengadu kepada Rasulullah SAW tentang hafalannya yang buruk, lalu Rasulullah SAW menyuruhnya mendirikan solat pada tiap-tiap malam Jumaat sebanyak 4 rakaat. Pada rakaat pertama sesudah Al-Fatihah dibaca surah Yaasiin. Pada rakaat kedua sesudah Al-Fatihah dibaca surah Ad-Dukhan, seterusnya pada rakaat ketiga selepas Al-Fatihah dibaca surah As-Sajadah dan pada rakaat yang keempat selepas Al-Fatihah hendaklah dibaca surah Al-Mulk.
Setelah Saidina Ali melakukannya selama 7 kali Jumaat, beliau begitu gembira apabila memberitahu Rasulullah SAW yang beliau telah menghafal Al-Quran dan hadisnya dengan mudah. Diharapkan Allah SWT akan memberi taufik kepada saudara untuk terus menjadi generasi yang memelihara Al-Quran dan hadis-hadis nabi SAW.
Senin, 22 Oktober 2007
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar